Wednesday, 24 August 2011

Erti Kemerdekaan

Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara. 

Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara. 


Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.

Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh. 

Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden. 

Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.

Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.

MEMPERINGATI DETIK SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA

Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.

Pada tahun 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai suatu rombongan ke London untuk membincangkan perkara-perkara mengenai kemerdekaan. Rundingan ini mengambil masa tiga minggu di London. Perjanjian London 1956 ditandatangani pada 8 Februari 1956 yang menyatakan persetujuan memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sekembali ke Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengumumkan tarikh kemerdekaan di Melaka.
Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.

Bendera Union Jack iaitu bendera British diturunkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur pada tepat pukul 12 malam 31 Ogos 1957. Kemudian, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka. Jemaah Menteri diumumkan juga pada hari pengisytiharan kemerdekaan. 



*****


Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'.
Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya.
7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam.
9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak.
Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.
Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke.
Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu.
Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah  Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci.
Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Rentetan Peristiwa Pengistiharan Tarikh Kemerdekaan

01 Januari 1956
Rombongan Rundingan Kemerdekaan
01 Januari   1956
Rombongan Kemerdekaan bertolak ke Karachi, Pakistan menaiki kapal laut bernama M.V. Asia.

01 Januari 1956
Seramai 10,000 orang yang sebilangan besar terdiri daripada ahli-ahli UMNO telah menghantar Rombongan Kemerdekaan di Pelabuhan Tanjung Pagar, Singapura.

01 Januari 1956
Keratan Akhbar Melayu, 6 Januari 1956 yang menunjukkan kapal laut M.V. Asia ke Karachi, Pakistan.

Keratan Akhbar Utusan Melayu, Rombongan Kemerdekaan yang diketuai oleh YTM Tunku sedang berbincang di Lancaster House.

8 Januari 1956
YTM Tunku dan Lennox Boyd(Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris) menandatangani Perjanjian Merdeka di London.

20 Februari 1956 (11.00 pagi)
YTM Tunku yang mengetuai Rombongan Kemerdekaan tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka dengan Malayan Airways.


20 Februari 1956
Rombongan Merdeka yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman disambut oleh lebih kurang 1,000 jawatankuasa penyambut daripada Parti Perikatan semasa tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka.
20 Februari 1956
YTM Tunku menjulang keris yang dihadiahkan oleh kaum ibu UMNO Melaka yang diwakili oleh Puan Zainab bt Samdin.

20 Februari 1956
YTM Tunku Abdul Rahman melaungkan 'MERDEKA'.

pencipta BENDERA MALAYSIA

Satu Pertandingan Peringkat Kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Sebanyak 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga reka bentuk bendera dipilih ke peringkat akhir. Reka bentuk pertama ialah lambing keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam bulatan mengelilingi Keris bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga reka bentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 28 November 1949 menunjukkan majoriti orang ramai memilih reka bentuk ketiga. Reka bentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan Johor iaitu Encik Mohamed bin Hamzah.
Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan telah mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara.
Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King Gerge VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Persuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selnagor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.
Hak mengibarkan bendera
Bendera adalah hak mutlak rakyat Malaysia. Sesiapa juga boleh mengibarkannya asalkan ianya dikibarkan mengikut amalan-amalan biasa mengibarkan bendera seperti tempat, masa, kedudukan saiz, tiang dan bendera serta susunan bendera sekiranya dikibarkan lebih daripada satu jenis bendera.
Pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan, badan-badan Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan Persekutuan diwajibkan mengibarkan bendera Persekutuan seperti diarahkan melalui Surat Pekeliling Am Bil. 3 tahun 1994.
Selain dari agensi-agensi Kerajaan dan rakyat biasa, pertubuhan dan persatuan sukarela, syarikat-syarikat gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai dan gerai-gerai juga digalakkan mengibarkan Bendera Persekutuan sama seperti agensi-agensi Kerajaan.
Allahyarham Mohamed Hamzah ,seorang pembantu teknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) yang telah meninggal dunia pada tahun 1993 adalah pencipta bendera Malaysia yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang.
JALUR GEMILANG adalah nama Bendera Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Perdana Menteri waktu itu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-40 di Dataran Merdeka.
* Nama “Jalur Gemilang” juga diterjemahkan secara langsung dari nama “Stripes of Glory” nama bendera Amerika Syarikat- betulkan jika saya salah.

BAPA KEMERDEKAAN !





Nama : 
Tunku Abdul 
Rahman Putra AlHaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Lahir :
08 Februari 1903, di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar (Istana Pagoda).
Pendidikan :
1911 - Maktab Sultan Abdul Hamid Alor Setar.
1916 - Penang Free School, Penang.
1925 - Lulus B.A. dari University Cambridge.
1945 - Lulus LLB, dari Inner Temple, London.

Kerjaya :
1946 - Bertugas dengan Kerajaan Kedah sebagai D.O. (Pegawai Daerah) Langkawi, Kulim dan Sungai Petani, (sebelum lulus LLB). Dilantik Penolong Pendakwa Raya KL dan Presiden Mahkamah Session Selangor.
1951 - Dilantik Presiden UMNO dan bergiat sepenuh masa untuk UMNO.
1956 - Rombongan Merdeka ke London.
1957 - Merdeka. Perdana Menteri Pertama.
1962 - Rombongan ke London - Gagasan Malaysia.
1963 - Gagasan Malaysia - 16.09.1963.
1970 - Bersara dari Politik.


06 Disember 1990 Tunku kembali ke rahmatullah. Seluruh Negara berkabung atas pemergian Almarhum. Seluruh dunia menghantar Ucap Takziah. Atas wasiat Almarhum, jenazah disemadikan di Makam Di Raja Langgar.